ASMA‘ binti Kahariyah Fazari diriwayatkan telah berkata kepada puterinya dihari pernikahan anaknya itu:
“Hai
anakku, kini engkau kan keluar dari sarang di mana engkau dibesarkan.
Engkau akan berpindah ke sebuah rumah dan hamparan yang belum engkau
kenal dan berkawan pula dengan orang yang belum engkau kenali. Itulah
suamimu.”
Jadilah engkau tanah bagai suamimu (taati perintahnya)
dan ia akan menjadi langit bagimu (tempat bernaung). Jadilah engkau
sebagai lantai supaya ia dapat menjadi tiangnya. Jangan engkau bebani
dia dengan pelbagai kesukaran karena itu akan memungkinkan ia
meninggalkanmu.
Janganlah engkau terlampau menjauhinya, agar ia
tidak melupaimu. Sekiranya dia menjauhimu, maka jauhilah dia dengan
baik. Peliharalah suamimu itu dengan baik. Jagalah mata, hidung dan
anggotanya yang lain.
Janganlah kiranya suamimu itu akan mencium
sesuatu darimu melainkan yang harum. Jangan pula ia mendengar sesuatu
darimu melainkan yang enak dan janganlah ia melihatkan melainkan yang
indah sahaja pada dirimu.
Kalau wanita ingin menjadi isteri yang
baik, dipihak lelaki juga berhasrat memiliki wanita yang begitu. Mereka
(para suami ) ingin benar punya isteri yang menyambut kepulangan dari
tempat kerja dengan wajah yang manis dan ceria, senyum menawan, pakaian
yang bersih dan wangi dan rumahtangga pula berada dalam keadaan bersih
kemas dan terurus. Bila mata sedap memandang, tenang dan damailah hati
suami.
Bukan itu saja suami juga bercita-cita memiliki seorang
isteri yang boleh menjadi penghibur dirinya, boleh berkongsi masalah
dengannya, faham apa yang disenangi, tahu mengambil hati suaminya
disamping boleh memberi layanan-layanan yang menyenangkan dan
mengembirakan suami. Itulah wanita idaman setiap lelaki. Pendek kata
bagaimana lelaki akan dilayani oleh bidadari di syurga kelak begitu
jugalah keinginan lelaki berhajatkan layanan dari seorang isteri seorang
bidadari rumahtangga. Oleh sebab itu dikatakan rumahtangga yang bahagia
itu ialah syurga tentulah ada bidadarinya. Siapa lagi kalau bukan
isteri yang solehah yang layak menyandang gelaran bidadari dunia.
Isteri
yang solehah akan berusaha memberi wajah jernih pada rumahtangga. Kasih
sayang yang lahir adalah hasil dari masing-masing hendak mencari
keridhaan Allah, bukannya dorongan nafsu semata- mata. Masing-masing
suami isteri meletakkan Allah dan akhirat yang lebih besar dan utama.
Isteri
yang solehah tidak terasa hina menjadi pelayan suami, malah sebaliknya
rasa bangga dan bahagia kalau boleh melakukan tugas-tugas itu dengan
baik dan sempurna. Gembira kerana yakin dengan janji Allah sebagaimana
yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Apabila
seorang perempuan mencuci pakaian suaminya, maka Allah mencatat baginya
seribu kebaikan dan mengampuni dua ribu kesalahan dosanya, bahkan segala
sesuatu yang disinari oleh matahari memohon ampun baginya serta Allah
mengangkat seribu darjat baginya.”
“Wahai Fatimah, setiap wanita
yang mengeluarkan peluh ketika membuat roti, Allah akan membina tujuh
parit antara dirinya dengan api neraka. Jarak antara parit itu ialah
sejauh bumi dangan langit.”
“Wahai Fatimah, setiap wanita yang
berair matanya ketika memotong bawang untuk menyediakan makanan
keluarganya, Allah akan mencatat untuknya pemberian sebanyak yang diberi
kepada mereka yang menangis kerana takutkan Allah.”
Siapa yang
tidak mau kemuliaan ini hanya dengan melakukan tugas yang ringan?
Seorang isteri yang solehah akan sentiasa mencari-cari jalan untuk
menyenangkan hati suami dan menutupi ruang-ruang untuk menyusahkan dan
mencurigakan suami terhadap dirinya. Dia tidak akan membimbangkan
suaminya terhadap dirinya. Maruah dirinya sebagai seorang isteri
senantiasa dipelihara dan dijaga kerana itu juga yang menjadi syarat
untuk dia mendapat keredhaan Allah dan keselamatan di akhirat
nanti.Setiap rumahtangga yang dihuni oleh isteri yang solehah bererti
rumahtangga itu telah memiliki perbendaharaan yang termahal di dunia dan
di sisi Allah rumahtangga itu mendapat perhatianNya.
Sabda
Rasulullah s.a.w yang bermaksud : ” Seorang wanita yang solehah itu
lebih baik daripada seribu orang lelaki yang tidak soleh dan seorang
perempuan yang berkhidmat melayani suaminya selama seminggu maka
ditutuplah daripadanya tujuh pintu neraka dan dibukakan lapang pintu
syurga dan dia bebas masuk dari pintu mana yang disukainya tanpa hisab.”
Isteri
solehah biasanya menjadi milik lelaki yang soleh. Tetapi ada juga
ketikanya isteri solehah bersuamikan lelaki yang toleh (jahat). Bolehkan
kedamaian dan keamanan wujud dalam rumahtangga bilamana suami kufur
dengan Allah dan buruk akhlak terhadap isterinya?. Isteri yang
menghadapi persoalan begini boleh tertekan jiwanya. Ada yang tidak sabar
dengan kerenah suami hingga tidak terfikir cara lain untuk
menyelamatkan jalan hidup yang dipilihnya melainkan berpisah saja dari
suami.
Dalam hal sebegini, si isteri perlu banyak bersabar dan
selalu bermunajat pada Allah. Ingatlah mungkin kesusahan yang kita
hadapi adalah ujian dari Allah s.w.t. Ada dua maksud Allah mendatangkan
ujian yaitu pertamanya ujian itu didatangkan sebagai penghapusan dosa
dan keduanya untuk peningkatan drajat disisi Allah.
Jadi jika kita
boleh bersabar maka terhapuslah dosa-dosa yang lalu. Sebaliknya tidak
mustahil juga itu merupakan peningkatan darjat dari Allah. Kalau tidak
diuji, mungkin hati kita akan terpaut benar dengan suami, menyayangi
suami lebih dari Allah. Jadi untuk melihat sama ada kita membesarkan
suami atau membesarkan Allah maka Allah timpakan ujian itu. Kalau benar
hati sayang dan takut pada Allah tentu isteri tidak teragak-agak untuk
bertindak membesarkan dan menyayangi Allah daripada suaminya sendiri.
Ingatlah,
sejahat-jahat suami kita, tidaklah dia lebih jahat daripada Firaun,
sedangkan isteri Firaun, Siti Asiah boleh bersabar menghadapi
kesombongan dan keangkuhan Firaun sehinggakan Siti Asiah disenaraikan
oleh Allah termasuk di dalam barisan antara wanita-wanita solehah yang
dijamin syurga.
Oleh itu kalau suami kita masih belum diberi
petunjuk janganlah kita jemu untuk memujuk dan mentarbiah, berlaku baik
dan paling penting mohon dan bermunajatlah kepada Allah agar Allah
mengubah hatinya untuk tunduk pada perintahNya.
Rasulullah s.a.w
pernah bersabda : “Wanita yang taat akan suaminya semua burung-burung
diudara, ikan- ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan semua
beristighfar baginya selama mana ia (isteri) masih taat pada suaminya
dan diredhai (serta menjaga sembahyang dan puasanya).”
Tidak ada komentar:
Posting Komentar